`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Tuesday, May 23, 2017

Kiamat Melayu sudah tiba

Kiamat sesuatu bangsa atau masyarakat adalah proses yang perlahan dan berlaku secara beransur-ansur. Tiada gempa yang dirasakan dan tiada gunung-ganang yang musnah.
KOMEN
down

Oleh Rozhan Othman
Istilah “Kiamat Melayu” mula digunakan pada 1980an menjelang tahun keramat 1990 kerana tahun itu tamatnya pelaksanaan DEB (DEB).
Wujud tanggapan bahawa dengan tamatnya DEB, masa depan orang Melayu akan gelap malah ada yang kata orang Melayu akan musnah, dan mereka menjadi lebih mundur dan terasing di bumi kelahiran mereka.
Namun, berbagai peruntukan dalam DEB tetap dikekalkan selepas 1990. Kelebihan dan keistimewaan yang diberi kepada orang Melayu tetap diteruskan.
Ini perlu kerana 2 sebab utama.
Pertama, sasaran yang ditetapkan di bawah DEB masih belum tercapai. Oleh itu, segala peruntukan di bawah DEB perlu diteruskan untuk membolehkan matlamat yang dihasratkan di bawah dasar ini dicapai.
Kedua, golongan elit yang meraih berbagai faedah dan keuntungan daripada dasar ini sudah ketagih dengan nikmat dan peruntukan di bawah DEB.
Tidak mungkin mereka akan membiarkan kesemua itu lupus begitu sahaja. Mereka dan keluarga mereka menjadi kaya kerana peruntukan ini. Mereka memerlukan peruntukan di bawah DEB untuk terus menambahkan kekayaan mereka dan anak pinak mereka.
Jika 1990 dianggap “Kiamat Melayu” kerana berakhirnya sebuah dasar ekonomi, kini sentimen Kiamat Melayu dimainkan semula.
Walau pun istilah Kiamat Melayu tidak digunakan, tanggapan yang diwujudkan ialah kedudukan dan ketuanan Melayu dikatakan akan musnah jika Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan. Seperti 1980-an, fenomena Kiamat Melayu sekali lagi digunakan untuk mempertahankan kepentingan golongan elit ini agar terus berkuasa.
Kepercayaan pada kiamat merupakan sebahagian Rukun Iman dalam Islam. Kiamat yang dibayangkan Al-Quran ialah peristiwa yang menggerunkan dan berlaku secara mendadak. Kemusnahan pada seluruh alam berlaku dalam masa yang singkat.
Namun, kiamat sesuatu bangsa atau masyarakat adalah proses yang perlahan dan berlaku secara beransur-ansur. Tiada gempa yang dirasakan dan tiada gunung-ganang yang musnah.
Kebanyakan orang tidak menyedari ia berlaku sehinggalah sampai pada tahap yang parah.
Demikian juga, Kiamat Melayu juga merupakan satu proses yang perlahan dan beransur-ansur.
Ibn Khaldun menggunakan istilah “kemerosotan dinasti” untuk menerangkan bagaimana sebuah masyarakat melalui proses yang perlahan ini. Ia bermula apabila pemerintah bertindak zalim dan mementingkan diri dan golongan mereka.
Faktor utama yang mendorong mereka mementingkan diri ialah keinginan habuan duniawi. Jika kejayaan pemerintah sebelum itu adalah kerana sokongan dari suku dan kabilah mereka, sikap mementingkan diri mereka menyisihkan mereka dari suku dan kabilah mereka. Akhirnya kekuatan mereka terungkai dan dinasti mereka tumbang.
Fenomena kiamat sesuatu bangsa juga dapat kita lihat hari ini. Zimbabwe melalui krisis ekonomi yang lama. Pada 1980-an ketika Zimbabwe baru merdeka daripada Britain, kadar inflasi berada pada tahap 5% dan kadar pengganguran ialah 10%.
Rakyat Zimbabwe memberi kepercayaan kepada Robert Mugabe untuk memerintah negara mereka. Kini inflasi di Zimbabwe melebih 200% dan kadar pengganguran sudah melebihi 90%.
Keadaan yang sama juga wujud di Venezuela. Hugo Chavez memulakan dasar populis dan pada mulanya dilihat sebagai mengutamakan rakyat. Dasar ini diteruskan oleh Presiden Maduro.
Namun, ekonomi Venezuela merudum kerana pergantungannya pada minyak. Apabila harga minyak jatuh, pendapatan negara juga jatuh. Ditambah lagi dengan dasar ekonomi yang gagal merangsang pertumbuhan. Inflasi meningkat melebihi 300% pada tahun lepas.
Kedua-kedua negara juga mengalami kejatuhan nilai mata wang. Selain daripada dasar ekonomi yang lemah, masalah penyelewengan kuasa dan rasuah berleluasa di kedua-dua negara.
Walaupun keadaan di Zimbabwe dan Venezuela tidak sama dengan di Malaysia, beberapa masalah yang wujud di sana turut wujud di sini.
Kejatuhan nilai ringgit sejak 2014 masih belum pulih. Masalah rasuah masih berleluasa.
Sesiapa yang membaca laporan Ketua Audit Negara Malaysia dan laporan Ketua Audit Negara Zimbabwe akan mendapati banyak persamaan dalam masalah ditemui dalam kedua-dua kerajaan.
Walaupun inflasi di Malaysia dikatakan rendah, rakyat semakin rasa terbeban dengan kos sara hidup yang melambung mendadak.
Tanda kiamat bangsa Melayu
Kiamat Melayu sebenarnya sudah lama bermula. Kesannya pada mulanya tidak ketara. Di antara tanda Kiamat Melayu yang telah dan sedang berlaku termasuklah perkara berikut.
Pertama ialah kemerosotan asas moral orang Melayu, terutama sekali di kalangan pemimpin dan mereka yang sepatutnya berkhidmat untuk masyarakat.
Lihat sahaja mereka yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Hampir kesemuanya Melayu. Jika istilah Ali Baba terkenal di China sebagai sebuah syarikat bertaraf global, di Malaysia ia sinonim dengan peniaga Melayu yang pemalas yang menjual kontrak mereka kepada orang lain.
Kedua, akibat runtuhnya asas moral orang Melayu, berbagai masalah sosial timbul. Orang Melayu merupakan golongan yang paling ramai menagih dadah dan menghidap HIV. Masalah penceraian di kalangan pasangan Melayu semakin meningkat.
Pada masa sama, kadar kemiskinan paling tinggi di kalangan orang Melayu biarpun DEB dilaksanakan sekian lama. Kadar pengangguran di kalangan graduan Melayu juga tinggi.
Kebanyakan orang Melayu tidak sedar ini semua merupakan tanda Kiamat Melayu sedang berlaku.
Ketiga, amanah sering dikhianati. Ini sering berlaku dalam berbagai bidang. Jika pada zaman sebelum merderka orang melibatkan diri dalam politik kerana idealisma perjuangan. Kini ia lebih didorong materialisme dan keinginan menjadi jutawan.
Memegang jawatan politik sudah menjadi jalan pintas untuk menjadi kaya. Institusi yang ditubuhkan untuk membantu orang Melayu turut dipergunakan untuk memperkayakan golongan tertentu.
Golongan agamawan pun turut terheret dalam hal ini. Ada di antara agamawan yang menipu ketika menjual pakej umrah, ada yang memperdayakan ummat dengan “kismis jampi” dan ada yang pecah amanah dalam mengurus zakat dan maktab tahfiz.
Demikian juga, ada yang memperniagakan doa di depan Kaabah.
Keempat, pemimpin mula bertindak secara autokratik dan mempergunakan undang-undang untuk melindungi diri mereka serta menindas rakyat. Ini mewujudkan satu kemerosotan yang sukar dipulihkan atau “irreversible”. Pemimpin merasakan diri mereka kebal dan tidak boleh disentuh oleh sesiapa.
Malangnya, mereka yang sepatutnya menyekat kerakusan pemimpin dengan rela tumpang sekaki. Ini menjadikan kiamat bangsa serta masyarakat berkenaan satu kepastian.
Faktor menyuburkan penyelewengan
Padilla, Hogan dan Kaiser mengenal pasti 3 faktor yang membolehkan pemimpin yang menyeleweng kekal berkuasa.
Pertama ialah keupayaan pemimpin menggunakan kedudukan, latar belakang dan imej mereka untuk memujuk pengikut mereka. Ini termasuklah menggunakan karisma mereka, latar belakang etnik dan agama mereka serta kedudukan mereka untuk meraih sokongan.
Kedua ialah keupayaan mereka memupuk tanggapan wujudnya ancaman yang perlu dihadapi bersama. Tanggapan ini digunakan untuk menakut-nakutkan dan memujuk para pengikut supaya setia kepada mereka.
Sesiapa yang menentang pemimpin ini akan dilabel sebagai pengkhianat dan agen musuh. Mugabe menggunakan ancaman penduduk kulit putih untuk mengukuh pemerintahannya.
Maduro menggunakan tanggapan ancaman campurtangan Amerika untuk menggantung perlembagaan di Venezuela.
Ketiga ialah wujudnya pengikut yang sedia bersubahat dan mempertahankan pemimpin-pemimpin yang menyeleweng. Ini termasuklah pegawai atasan badan penguatkuasa undang-undang, para hakim, organisasi media dan rakyat yang rela dengan penyelewengan pemimpin mereka.
Ketiga-tiga faktor ini membolehkan pemimpin yang menyeleweng kekal berkuasa. Apabila ini berlaku, orang Melayu tidak akan dapat lari dari kiamat bangsa mereka.
Ancaman dari dalam
Ancaman kepada masa depan orang Melayu sebenarnya adalah ancaman dari dalam. Bukan faktor luaran atau dari bangsa dan negara lain.
Perkara yang memusnahkan orang Melayu adalah salahlaku orang Melayu sendiri terutama dari kalangan pemimpin Melayu yang korup.
Kiamat Melayu sudah lama bermula dan sedang berterusan. Selagi mana orang Melayu bersikap toleran terhadap penyalahgunaan kuasa dan rasuah di atas nama mempertahankan kepentingan bangsa, selagi itulah Kiamat Melayu akan berterusan.
Mereka mungkin masih memegang kuasa, tetapi kuasa itu ialah ibarat tangki yang bocor.
Pandangan bahawa pemerintahan mesti berada pada di tangan Melayu demi menjamin masa depan Melayu adalah satu mitos. Apalah guna kekuasaan berada di tangan pemimipin Melayu jika pemimpin Melayu ini korup, boleh dibeli dan dibela oleh golongan lain, jika mereka dengan mudah membuka ruang untuk kuasa asing menguasai negara, dan jika mereka sendiri memporak-perandakan ekonomi dan membazir kekayaan negara?
Bukankah ini yang berlaku sebelum merdeka bila British mengekalkan pemimpin Melayu dan menjajah melalui mereka?
Masa depan Melayu tidak akan dapat dijamin oleh mereka yang menyebabkan Kiamat Melayu. Orang Melayu perlu menyedari bahawa masa depan mereka berada dalam tangan mereka sendiri. Mereka boleh memilih sama ada ingin kekal bersama elit yang korup dan menyeleweng dan menuju ke hari-hari akhir Kiamat Melayu atau merubah masa depan mereka dengan mengubah status kuo.
Jika mereka tidak berubah, mereka mungkin akan menghadapi Kiamat Melayu yang menyerupai keadaan di Zimbabwe dan Venezuela hari ini.
Seperti di Zimbabwe and Venezuela, golongan elit akan terus hidup senang dengan kereta mewah mereka, rumah agam mereka dan akaun bank di luar negara.
Tetapi orang Melayu biasa akan melarat terus dihimpit kos sara hidup yang tinggi, golongan Melayu masih merupakan golongan termiskin, graduan Melayu masih ramai yang menganggur dan kitaran ini akan berterusan.
* Dr Rozhan Othman seorang pembaca FMT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.